Wednesday, May 11, 2016

Jurnal Cuti 4


Assalamualaikum


Bagaimana manusia yang kau bilang kau sayang separuh mati tetapi hari ini, kau terpaksa mencari dia dalam timbunan perasaan kau dan kau tidak jumpa? Dari rumah marah ke benci ke kecewa ke sedih ke sakit ke sayang, namun, tetap kau tidak jumpa di mana-mana.

Ke mana manusia ini pergi sebenarnya dalam hati kita? Kau pernah rasa? Atau aku sahaja yang ada perasaan sebegini?

Aku terlalu mengingat perkara. Perkara yang berkait emosi. Mungkin itu caranya para wanita mampu mengungkit cerita puluhan tahun lepas. Emosi.

Aku ingat rasa bahagia merenung bintang-bintang. Aku ingat rasanya sakit dihenyak dengan perkataan kesat. Aku juga ingat rasa marah tidak dibenarkan memilih kobis panjang. Aku ingat rasa sejuk bila dilindung dengan selamat. Aku ingat rasa manis bila hati aku merasa suka.

Mungkin benar persoalan seorang sahabat, “Tapi betul ke yang putus tu-cinta?”

Iya. Bukan cinta agaknya. Sekadar perasaan manis-masam-pahit-pedas yang berlalu seperti angin singgah sebentar di gegendang telinga, menampar pipi, menenangkan minda. Ye, seketika.

Seperti aku tidak lupa tentang semua perasaan yang aku sebut di atas, aku juga tidak lupa kebodohan aku. Aku kira, itu hari paling ranap daripada ratusan hari lepas-lepas.

Benarlah. Tuhan tidak kejam pada hambanya. Pada setiap ruang kosong yang Dia izinkan untuk kosong itu Dia isikan dengan manusia-manusia baik.

Aku mengambil masa berbulan cuba untuk meghabiskan biografi Nelson Mandela. Bagi aku, itu adalah biografi paling mudah untuk aku fahami kerana bahasa Inggerisnya yang mudah bukan seperti Macbeth (kenapa kena banding dengan classic lit?) tetap, berbulan juga untuk aku habiskan. Itu Nelson Mandela yang pada usia muda, 20-an sudah dipenjara kerana menegakkan keadilan untuk bangsa kulit hitam di Amerika ketika itu.

Jadi, hari itu, entah, aku lupa hari apa, tak penting. Aku berjumpa ‘Nelson Mandela’ versi Melayu, iya, sebenarnya banyak imitasi Nelson Mandela yang bukan jadian semata yang berjuang untuk keadailan dan menjadi suara untuk orang yang di’bisu’kan. Aku ambil contoh ‘dia’, kerana aku kira ‘dia’ yang paling hampir untuk aku contohi.

Dia, ‘Nelson Mandela’ yang menegakkan keadilan dalam system pendidikan Malaysia, selain ratusan perkara lain yang kurang adil dan kurang rasional dalam politik Malaysia (aku tak tahu apa term yang sesuai sejujurnya). ‘Dia’ yang lain menjadi nadi kepada perkara keghairahan aku, namun, tak pernah berpeluang untuk meluaskan, jadi, ‘dia’ ajarkan aku bagaimana.

Terlalu banyak ‘dia’ dalam cerita aku sekarang. Manusia-manusia yang menjadi inspirasi untuk aku terus hidup dan melakukan kerja-kerja penting seperti report akhir, sajak-sajak, dan menolak manusia parasite pergi. Kalau dulu, aku terlalu sibuk memikirkan hal ‘Cinta’, padahal, reality cinta bukanlah cerita fantasi Cinderella atau Sleeping Beauty, tidak sekarang. ‘Cinta’ bagi aku terlalu luas. Susah untuk aku gambarkan Cuma dengan keberduaan.

Iya, ‘Cinta’ berdua itu juga wujud sejujurnya, tetapi, entah, mungkin aku belum menjumpainya, atau, aku tidak lihat ‘Cinta’ yang ada di depan mata?

Aku pernah takut untuk menulis apa yang ada dalam kepala dan hati aku, mengutip dari butir-butir bicara arwah Yasmin Ahmad, “write emotions its easy”, jadi, fahamlah aku mengapa karya beliau indah dan sarat dengan kemanusiaan, kasih sayang, dan kemurahan manusia terhadap manusia lain. Walaupun, karya beliau sering dikritik keras para pembikin filem, tetap, beliau tidak gentar menyuarakan apa yang dalam kepala dan hatinya. AKu ingin jadi seperti beliau yang tidak takut mengambil risiko bagi setiap apa yang dikeluar dan dituliskan. Iya, seperti Yasmin.
***
Hujung minggu lepas, aku menghabiskan waktu hujung minggu aku di Kajang-Serdang(PBAKL). Aku jarang tidak menurut ‘nafsu buku’. Walaupun, baucer buku hilang (salah alamat), tetap, gigih juga ke pesta buku. Ada beberapa buku yang aku rasa, aku sudah jatuh cinta sebelum aku membacanya. Dalam ketiadaan baucer buku, banyak jugalah buku yang aku beli. Tak cukup beli masa hari pertama, aku sambung beli hari kedua. Em.

Di Ipoh, aku jarang menaiki public transport. Ipoh Cuma ada teksi dan bas dan aku ada pengangkutan sendiri untuk ke mana-mana. Bila sampai di KL, jujurnya, aku suka dengan kemudahan awam sebegitu. KTM-LRT-Monorail-Rapid dan etc. Aku suka melihat gelagat manusia yang pelbagai. Oh, yang pasti bukan dengan bitch face yang macam selalu aku buat. Aku suka melihat manusia, sorok-sorok. Ada yang nampak murung, barangkali baru lepas ditinggal kekasih atau dibuang kerja. Ada yang enak menikmati saat berdua. Yang bersembang tentang isu semasa. Pelbagai.

Aku suka melihat pelbagainya warna kulit, bentuk muka, warna mata aku suka semua perbezaan sebegitu yang buat aku rasa, ‘benarlah, tiada apa yang sia-sia’. Selangor tidaklah jauh mana dari Perak, tetap, keluar dari kawasan kebiasaan aku buat aku belajar banyak tentang kehidupan.

Seperti, aku terjumpa senior sekolah menengah aku yang kali terakhir aku jumpa adalah sewaktu aku berumur 13 tahun. Aku akui, aku tidak lupa nama beliau, kerana beliau antara senior yang digeruni semasa kami tingkatan 1 dulu. Takdir tuhan sentiasa cantik! Dari duduk semeja sebagai stranger, dibawa ke dalam kereta (diorang baik gila nak tumpangkan kitorang ke KTM UKM) dan rupanya, beliau manusia yang pernah ada dalam kehidupan lalu aku. Its funny when stranger become family.

Perjalanan dari LRT Setiawangsa ke KL Sentral buat aku terfikir banyak perkara. Bagaimana aku boleh sampai di sini? Bagaimana kita boleh ada dalam mata seseorang untuk 30 minit tapi bekasnya kadang bertahun? Mengapa hujan bukanlah wang yang turun dari langit? Mengapa manusia yang datang dalam kehidupan kita ada ‘tamat tempohnya’? Seriously, sem depan dah tahun akhir? 
Mengapa bahagia tidak boleh sahaja dibeli dari toko-toko? Bukankah itu lebih mudah dari mendengar ‘Tips Gembira’? Mengapa ‘permulaan’ disebut ‘permulaan’? kerana aku tidak suka ‘pengakhiran’.

Dan hidup, sentiasa ada kejutannya yang tersendiri. Buat aku rasa malu dengan diri lama aku yang terlalu menghakimi ‘takdir’ sampai aku tidak melihat betapa cantiknya sebuah takdir. Ditakdirkan untuk berjumpa manusia hebat juga adalah rahmat. Dan aku terlalulah bersyukur untuk kawan yang sanggup datang dari Kedah temankan kegilaan aku untuk semua perkara ini. Entah sejak bila aku malas berfikir tentang risiko untuk jatuh sakit, atau kecewa, atau sesat, atau kalah, atau perit dan sebagainya. Aku Cuma tahu, aku kena guna setiap masa dengan baik.

No comments: